Berlapang Dada. .
Aku barangkali bukan insan terbaik untuk berbicara mengenainya. Kerana di mata manusia, aku insan hina. Biarlah. . kerana aku mahu di nilai Tuhan. Berbekalkan sedikit ilmu di dada, yang hadirnya melalui nikmat hidayah kurnia Tuhan, aku berlapang dada. Ya, ilmu ku cetek. . tidak sama seperti barisan ustaz-ustaz dan ustazah-ustazah di luar sana. Mana bisa aku dihormati. . kerana aku pelaku dosa. . Ya, aku bukan manusia maksum. Namun, indahnya nikmat kurnia Tuhan, kerana cebisan sinar hidayah yang terpalit di lubuk hati bisa menerangi jalanan permusafiran kembara ku yang penuh liku.
Tafsiran Zahir. .
Entah mengapa manusia suka mentafsir. Malah mengharapkan sesuatu yang tak mungkin bisa kita lakukan. Zahir insan ditilik, lalu di teka hati nurani mereka, tanpa proses ta'aruf yang sepatutnya. Andai sekali langkah tersasar, manusia cenderung menyalahi dan akhirnya fasa permulaan dalam membina jalinan ukhuwah terlerai hanya kerana proses ta'aruf yang terbengkalai.
Berhentilah. .
Berhentilah saudara ku daripada mengharap sesuatu yang tidak mampu di lakukan teman mu. Berhentilah saudara ku daripada menilai insan dari luaran, dan berhentilah saudara ku daripada mengharapkan kesempurnaan. .
Terimalah Seadanya. .
Andai kau rasakan, saudara mu tersasar dan jauh daripada sangkaan yang kau jangkakan, janganlah kau longgarkan pautan ukhuwah yang selama ini membahu gagah. Bukankah lebih baik andai kekurangan itu dibaiki bersama? Bukankah insan di ajar agar saling menasihati ? Peganglah erat tangannya kembali, dan tariklah sekuat hati agar ia kembali di atas landasan yang benar. Petahkanlah lidahmu untuk berbicara dari hati ke hati agar teman mu mengerti. Janganlah lidah mu pantas mengeji, tangan mu bebas menuding jari, dan kaki mu luas melangkah pergi.
Mulia Hina Insan. .
Adilkah untuk kita menilai manusia seindah pandangan yang hanya di zahirkan Tuhan pada sudut luaran semata ? Dan layakkah kita untuk menyatakan mulia hina seorang hamba hanya pada suatu kemungkaran sedang mungkin seribu kebaikannya selepas ini kita abaikan ?
Maafkanlah. .
Maafkan aku kerana tidak berupaya menjadi insan sempurna seperti yang kalian harapkan. Maafkan aku kerana tidak mampu memberi sebanyak mana yang kalian mahukan.
Maafkan aku kerana dosa yang aku lakukan, lalu aku ditinggal sepi kerana aku sang pelaku dosa. . tidak semulia insan lain. Aku hamba hina yang tak mungkin menerima amanah seberat ini. . lalu barangkali arahan ku tidak wajib kalian hormati.
Suci Sekeping Hati. .
Namun, aku masih hamba Tuhan yang dikurnia sekeping hati. Yang sentiasa mengharapkan bimbingan Tuhan agar sentiasa sedar diri. Tuhan yang aku cintai, takuti dan rindui dalam suka dan duka tidak pernah meninggalkan aku walau sesaat. .
Ukhuwah Fillah Lestari Selamanya. .
Sahabat yang aku kasihi. . terima kasih atas sokongan selama ini. Fasa perkenalan kita telah melayakkan kita bergelar usrah. Segala kelebihan dan kekurangan ku kalian terima dengan hati yang terbuka. Bagaimana hitamnya diriku suatu masa dulu, kalian gilap bersama iringan doa dan bantuan agar aku tidak bisa berpaling lagi. . Mungkin aku tidak menjadi putih berseri, namun pudarnya warna hitam kelam bersama debu dosa yang aku kesalkan sedikit sebanyak memberi ruang agar jiwa dan nuraniku bernafas kembali. .
Terima Kasih Tuhan . .
Terima Kasih Teman. .
Kerana aku insan biasa, semoga maaf ku di terima. .