Kali ini , nadia ingin menceritakan serba sedikit tentang Kisah Srikandi Syurga iaitu Siti Khadijah Binti Khuwailid. Seorang Srikandi pejuang Islam yang membantu Rasulullah s.a.w.
Demi Allah, tidak ada ganti yang lebih baik daripada dia, yang beriman kepadaku saat semua orang ingkar, yang percaya kepadaku ketika semua mendustakan, yang mengorbankan semua hartanya saat semua berusaha mempertahankannya dan daripadanyalah aku mendapatkan keturunan.”
Begitulah Rasulullah s.a.w menggambarkan keperibadian Siti Khadijah binti Khuwailid, isteri pertama baginda. Seorang isteri sejati, Muslimah yang segenap kemampuan diri berkorban demi kegemilangan dan keagungan Islam.
Siti Khadijah r.a adalah wanita pertama yang menyatakan keimanannya kepada Allah dan Rasul Nya. Beliau banyak membantu dalam meneguhkan tekad Rasulullah s.a.w ketika menyebarkan risalah dakwah. Beliau sentiasa berusaha meringankan kepedihan hati dan menghilangkan keletihan serta penderitaan yang di alami oleh suaminya, dalam menjalankan tugas dakwah menegakkan kalimah tauhid. Inilah keistimewaan dan keutamaan Saidatina Khadijah dalam sejarah perjuangan Islam. Beliau adalah sumber kekuatan yang sentiasa berada di belakang Rasulullah s.a.w.
Saidatina Khadijah adalah seorang srikandi yang berdiri teguh menyokong suaminya, Rasulullah s.a.w. Ummul Mukminin ini mendampingi Rasulullah s.a.w dalam keadaan suka dan duka, reda dan tenang, sabar dan sentiasa bertawakal dan mengharapkan keberkatan Allah s.w.t pada saat-saat kesukaran dalam menyebarkan syiar Islam. Kepayahan dan kesanggupan Saidatina Khadijah dalam bersama-sama berjuang menegak dan menyebarluaskan agama Islam serta menghadapi cabaran merupakan satu jihad yang terpuji.
Kasih dan sayang Rasulullah s.a.w terhadap Saidatina Khadijah begitu mendalam hingga ketika beliau meninggalkan alam yang fana ini, Rasulullah s.a.w menamakan tahun itu sebagai ‘Amil Huzni’ yang menggambarkan tahun yang begitu sedih. Gambaran ini jelas membuktikan bahawa peranan dan sumbangan Ummul Mukminin dalam sejarah Islam begitu hebat dan haruslah dijadikan kebanggaan khususnya kepada kaum wanita dalam usaha menghayati dan mencontohi akhlak terpuji Saidatina Khadijah Al-Qubra ini.
Saidatina Khadijah juga merupakan peneman hati Rasulullah ketika Baginda berada dalam ketakutan..Kisah ini berlaku ketika Rasulullah menerima wahyu pertama di Gua Hira'. . ketika Baginda berada dalam ketakutan, Siti Khadijah menjadi peneman Baginda . . menyelimut Baginda yang dalam ketakutan . . menunggu dengan sabar sehingga keadaan reda, barulah Siti Khadijah bertanya kepada Baginda apa yang berlaku. Begitu beradabnya Siti Khadijah dengan suaminya, Rasulullah s.a.w.
Inilah Srikandi Islam yang menjadi contoh dan ikutan kepada wanita Islam. Mudah-Mudahan kita mendapat panduan dan barakah daripada srikandi Siti Khadijah r.a.