Bercinta selepas berkahwin :) |
“ Aku terima nikahnya Ais'yah Humaira’ Bt Ammar Mukhlis, dengan mas kahwin RM200 tunai ”. Itulah lafaz keramat yang yang mengikat aku dengan suami tercinta, Harizz Hay’kal. Indah sungguh ketika itu dan kamilah orang paling bahagia dalam hidup. Hubungan yang selama ini menjadi teka teki sudah terjawab dengan termeterainya lafaz suci ini.
Senyuman mekar di bibir ku tatkala teringat kembali perkenalan kami. Suamiku seorang yang sangat taat kepada ibu bapanya dan alhamdulillah dididik dengan penuh panduan agama. Perkenalan kami bermula apabila beliau menyapa aku di laman sosial yang popular iaitu facebook, “Salam ukti. Boleh ana bertanya sesuatu ?”. Aku hanya membalas, “Wsalam. Ye apa?. Beliau menyambung “Dimanakah Allah”? Terdetik di hatiku perasaan hairan dan tidak senang kerana bagi ku soalan begitu hanya layak di jawab oleh pelajar sekolah rendah sahaja. “Allah bersemayam di Arasy’ Nya lah”, aku menjawab. Hay’kal membalas, “ ukhti pasti ke ? Maksudnya Allah ini ada permulaanlah ye. Perasaan aku bertambah geram bila membaca jawapannya. Dengan nada geram aku menaip, “apa maksud sebenar awak bertanya soalan ini. Awak ni jangan nak cari masalah dengan saya. Allah tiada permulaan dan tiada pengakhiran. Dengan tenang beliau menaip, “sabar ukhti. Ana cuma ingin menguji sejauh mana keyakinan ukhti kepada Allah. Allah Azza Wa Jalla berfirman yang bermaksud” Allah menciptakan langit dan bumi dan apa yang ada di antara keduanya dalam enam masa, kemudian Dia bersemayam di atas Arasy’. Bagimu tidak ada seorang pun penolong maupun pemberi syafa’at selain Dia. Maka, apakah kamu tidak memperhatikan?
(Surah As-Sajadah:4). Ana tiada niat pun meyakiti perasaan ukhti. Ana memohon kemaafan ye, wsalam”.
Pertemuan kami tidak terhenti disitu, Hay’kal semakin rajin menerangkan aku mengenai akidah yang murni berpanduankan Al-Quran dan Sunnah. Suatu hari beliau bertanya kepada ku, “Ukhti tahu apa itu Manhaj Salaf As Soleh”?. Dengan selambanya aku menjawab. “pernah dengar tetapi tak tahu maksud, hehe. Dia meneruskan, “Manhaj bermaksud jalan yang terang atau jalan yang mengikuti sunnah as-sahibah. Salaf menurut bahasa (etimologi) ialah “orang-orang yang awal (تقدم) iaitu yang mula-mula atau (سبق) orang-orang yang terdahulu (yang telah berlalu). Antara yang paling tepat mengenai pengertian salaf ialah “Orang-orang yang terawal (yang terdahulu) terutama dari para Nabi, para sahabat Nabi, para tabi’in dan mereka yang mengikut jejak (meniti manhaj) mereka-mereka yang telah lalu terutama para imam mujtahid yang empat( Imam Hanafi, Imam Maliki, Imam Hambali, Imam Shafi’ie)”. Aku membaca dengan penuh tekun dan membalas, “ ok. Saya faham. Terima kasih banyak-banyak. Hay’kal meneruskan penerangan, “ Menurut Imam Az-Zahabi. “As Salafi adalah jolokan (nama atau sebutan ) bagi sesiapa sahaja yang mengikuti Manhaj Salaf”. Aku begitu terpegun dengan penerangan yang disampaikan oleh Hay’kal itu. Hebat sungguh hujah beliau dan aku yakin bahawa aku tidak salah memilih kawan.
Berdasarkan penerangan hay’kal hati aku tertarik untuk mengetahui lebih lanjut mengenai salaf. Hay’kal dengan baik hati menawarkan untuk memberi pinjam buku-bukunya kepada ku dan tanpa di sangka, rupa-rupanya kami menuntut di kolej yang sama, jurusan yang sama dan membezakan adalah aku di tahun ke dua dan beliau di tahun terakhir. Kecilnya dunia bagi aku kerana tidak kami sedar sebenarnya kami sebumbung. Cuti semester yang melabuhkan tirainya aku gunakan sebaik mungkin dengan membaca buku-buku yang ku pinjam daripada Hay’kal. Banyak manfaat yang aku perolehi dari bacaan ini dan aku cuba mempraktikkan dalam kehidupan seharian. Persahabatan kami berterusan apabila kami sering bertukar-tukar pendapat dan hujah mengenai sesuatu isu. Banyak perubahan yang positif telah berlaku pada diriku dan orang menyedari adalah ibu yang dikasihi. Beliau adalah orang yang paling gembira melihat perubahan ini dan terus memberikan sokongan tanpa rasa jemu. Buku-buku yang aku pinjam dikongsi bersama dengan ibu dan jika terdapat kekeliruan kepada Hay’kal lah aku akan rujuk.
Harriz Hay’kal. Tiba-tiba terpancul nama itu dibibirku. Ishh, apa ni Ais’yah. Ingatkan Allah bukan dia lah. Marah aku pada diri ini. Kenapa perasaan pelik ini hadir tanpa diundang Ya Allah. Jauhkanlah ia dari hatiku Ya Rabb. Yang aku dambakan hanyalah cinta Mu yang agung itu bukanlah cinta dari hamba-hamba Mu. Pedih sungguh perasaan ini Ya Allah dan aku tidak mampu menanggungnya. Lantas aku bangun dari pembaringan dan mengambil wuduk untuk menunaikan solat sunat. Alhamdulillah Allah meredhakan perasaan ini dan Insya Allah aku akan cuba membuang cinta ini jauh dari kamus hidupku.
Tetapi tidak aku menyangka insan yang bernama Harizz Hay’kal juga menyimpan perasaan yang sama dengan aku. Hasrat ingin memperisterikan ku di sampaikan oleh ibu bapanya kepada ahli keluarga. Berbunga hati ku tatkala mendengarnya daripada ibuku. Namun tidak begitu pantas aku menerimanya kerana aku sendiri tidak menyakini adakah Hay’kal jodoh daripada Allah Azza Wa Jalla untuk ku. Bermacam persoalan bermain di minda dan sukar untuk aku merungkaikannya. Adakah aku pemilik tulang rusuk Hay’kal yang bakal bergelar suamiku? Benarkah ini yang terbaik dalam hidupku ? Atas dasar nasihat ibuku, aku melakukan solat istikharah selama 3 bulan berturut-turut. Yang aku pohon petunjuk bantuan daripada Allah Azza Wa Jalla dan kekuatan untuk membuat keputusan. Di hamparan sejadah yang indah itu aku berteleku memohon perlindungan dari Allah supaya keputusan yang bakal ku putuskan bukan bersandarkan nafsu semata-mata tetapi bersandarkan fikiran yang rasional. Keputusan yang bakal mecorak masa depan dan hubungan ini mendapat keredhaan Allah.
“ Ya Rabb, Engkau Maha Mendengar Dan Maha Mengetahui tiap-tiap apa yang terbaik untuk hamba Mu ini. Engkau terangilah hatiku dengan Taufiq dan Hidayah Mu supaya aku tidak buta membuat keputusan dan tidak sesekali dipengaruhi nafsu yang akhirnya akan membinasakan hidupku. Engkau rahmatilah hambaMu ini dengan penuh kasih sayang dan cinta yang suci itu. Amin ya Rabbal A’la min ”. Itulah doa terakhirku sebelum aku memaklumkan kepada Hay’kal.
“Hay’kal, saya nak minta maaf. Keputusan yang ingin saya beritahu mungkin akan melukakan atau membahagiakan awak. Saya yakin dengan keputusan saya yang . . . .
Tut. . tutt. . tutt. . Ya Allah jauhnya aku berangan. Di telefon bimbitku menerima satu pesanan ringkas. Pesanan itu yang berbunyi “ Assalamualaikum Zaujah yang amat ku kasihi. Jagalah diri mu dan zuriat kembar kita dengan baik. Abi akan sampai dalam masa 20 minit lagi. Umi dan babies tunggu ye. Butang reply ku tekan dan menaip” Waalaikumussalam suami yang aku sayangi. Pandu kereta dengan hati-hati. Umi dan si kembar ini setia menanti.
Ya, Harriz Hay’kal telah menjadi suami ku yang sah. Mungkin ini yang dinamakan cinta istikharah kerana petunjuk dari Allah Azza Wa Jalla yang membimbing aku membuat keputusan. Alhamdulillah Ya Rabb ! Hidup ku kini diulit kebahagiaan dan di tambah dengan zuriat kembar sulung yang aku kandung telah mencecah 3 bulan. Alhamdulillah. . Alhamdulillah. .