Kalau saya tidak bersama tarbiyah, Saya sudah menjual dadah. Eh!

Tidak semudah itu. .

Pernah tak anda terfikir, apakah nasib yang akan terjadi pada diri anda sekiranya anda tidak pernah terjebak, terperangkap tidak boleh lari dah dan menyertai gerabak dakwah dan tarbiyah ini? Pasti pernah bukan? Alah. jangan bohonglah. Pasti pernah punya! 

 
Benar, seperti dalam post Kalaulah Aku Berkalau-kalau, Mesti Kalau Di kalau-kalau, saya ada berhujah yang amat merbahaya sikap suka berkalau-kalau ni. Pertamanya kerana ia seolah-olahnya kita mempersoalkan ketentuan dan perancangan Allah untuk diri kita. Keduanya, ia memberi laluan untuk syaitonirojim the konco-konconya membisikkan rasa was-was dan ragu-ragu ke dalam diri kita. Kalaulah aku tak buat begini dan begitu, pasti sudah jadi sebegini dan sebegitu. Kalaulah aku dah ke sana, kalaulah aku dah beli tu, kalaulah aku dengar cakap dia pastilah aku tidak gemok seperti sekarang ini. Eh. Senarainya berterusan. 



Tetapi dalam isu melihat kembali masa silam kita sebelum di sentuh oleh sentuhan kasih-sayang tarbiyah, saya melihat ia dari sudut perspektif yang sedikit berbeza. Tanpa menidakkan perancangan Allah yang Maha Mengetahui lagi Maha Bijaksana, ia adalah sebagai suatu cara untuk kita bermuhasabah; menilai kembali sejauh mana telah kita lalui di sepanjang jalan yang penuh onak dan duri ini.



Tetapi yang lebih utama daripada itu, melihat siapa diri kita sekiranya kita tidak terjebak ke dalam jalan ini, adalah suatu cara yang cukup osem untuk menzahirkan kesyukuran kita kepadaNya. Hanya dengan membayangkan siapa agaknya kita pada hari ini jika tidak di selamatkan oleh da'wah dan tarbiyah, barulah kita benar-benar dapat menghargai harga dan nilai hidayah Nya.


Sayugia di sini saya ingin kongsikan kepada anda, siapalah agaknya saya sekarang ini, dan bagaimana perangai dan sikap saya sekiranya dahulu saya terus berjaya lari laju-laju daripada di tangkap masuk ke dalam gerabak da'wah dan tarbiyah ini. Ini berdasarkan pengamatan saya pada sahabat handai dan kenalan taulan yang memilih untuk tidak bersama kumpulan ekstrem ini. Hoho. Juga pendapat dan pandangan ikhlas tentang diri saya sendiri.


Ayuh kita lihat! (Ok sila sediakan bertih jagung dan setin minuman berkarbonat. Ini pastinya menarik!)

Kalaulah Saya Tidak Bersama Tarbiyah, Saya Rasa-Rasalah..



1) Saya akan menjadi seorang yang workaholic. Datang awal dan balik lewat malam sebab nak kipas punggung Puan Bos Besar juga nak naik pangkat cepat. Yalah, tiada bulatan gembira yang perlu dibawa, juga tiada bulatan gembira sendiri. Nak buat apa lagi, ye tak. . ? Juga akan sangat sibuk berlumba-lumba untuk mengejar dunia. Siapa yang paling berjaya antara rakan-rakan lama, baru syok nak tunjuk muka. Kereta siapa yang paling canggih, pakaian siapa yang paling kelas dan siapa yang sudah beli rumah dahulu. Barulah bergaya !

2) Akan menyibukkan diri dengan perkara-perkara yang err. . Peluh besar. Contohnya, sibuk ke gym untuk mendapatkan enam pek di perut dan bukit besar di lengan. Menjaga penampilan diri dengan bersungguh-sungguh; muka mahu licin dan bersih, rambut mesti cool dan bergaya, sekali-sekala ke salon dan spa lelaki untuk mendapatkan rawatan muka dan tubuh badan yang terkini. Hallo? Zaman ini itu satu keperluan kot?
 
3) Hujung minggu saya akan habiskan masa dengan kawan-kawan sama ada keluar membeli-belah atau menonton wayang. Syukur tiada konferens riang yang perlu di hadiri. Jumaat malam Sabtu pula akan melepak bersama sahabat-handai di restoran mamak sehingga jam dua tiga pagi. Tak qiam ke bang oi? Err.. Qiam?





Wiken yang sumpah tipikal. Mungkinkah ini saya sekiranya tidak terjerat dengan tarbiyah? Hmm. 

4) Wang saya akan banyak di habiskan untuk gajet-gajet terbaru. iPong, iPed, Galaksi Nota. Semua-semualah! Hari ini keluar di pasaran, semalam dah beli dah! Wahahaha. Juga untuk pakaian trend terkini, di samping berbotol-botol minyak wangi. Sebut je jenama apa. LaCoste? Hugo Boss? Buaya Darat? Pak Cik Kelvin? Semua ada.

5) Tidak kisah untuk berseluar pendek. Mungkin bukan yang atas lutut tu, tapi yang jenis halal-haram. Nampak macam dah kaver lutut, tapi dari sudut pandangan tertentu, atau apabila bongkok pada sudut darjah yang tertentu, pastilah kelihatan lutut berkulit kedut itu. Apa saya kisah, asalkan bergaya! Wah!

6) Saya tidak berapa kisah dengan isu umat, baik isu umat dalam negara, atau saudara-mara saya di Palestin, Syria, Somalia, Chechnya, Kashmir dan sebagainya. Ya, mungkinlah sedih sedikit dan hulurkan sumbangan sebarang dua, tapi sekadar itu sahajalah. Tidak terasa pon seperti mahu membela mereka.

7) Tidak kenal dan tidak kisah pon dengan hadek-hadek bulatan gembira yang dikenali sekarang ini. Malah mungkin berasa geli-geleman melihat mereka yang begitu berukhuwwah mesra sesama mereka. Melaga-laga pipi sambil berana-nta. Eeewww. ? (Ironinya, bahagian inilah antara yang paling saya hargai sekali setelah menyertai da'wah dan tarbiyah. Senyum kenyit mata.)

8) Amalan harian seperti membaca Quran, puasa sunat, berzikir, membaca doa-doa yang Maathur dan sebagainya, hanya ala kadar, ibarat melepaskan batok di tangga. Buat pon bila terasa insaf. Masa lebih bayak dihabiskan dengan tidur, bermain game, menonton movie dan sebagainya.

9) Sifat pemarah dan ego saya yang begitu dahsyat syaitonirojom itu, akan terus bermaharajalela. Mungkin meninggi suara kepada sesiapa sahaja termasuklah Inche Abi dan Puan Umi sudah ibarat hobi di masa lapang. Gopoh dan terburu-buru dalam melakukan sesuatu. Sabar? Menatang apa tu?

10) Yang paling menggugah jiwa dan menggegar iman adalah soal ikhtilat. Saya rasa saya akan terus bergaul-mesra dengan rakan-rakan berlainan jantina. Bertepuk-tampar bergelak-tawa manja itu perkara biasa. Gelpren menanti masa bila saya mahu masuk meminang. Sambil itu pergi bertemu-janji, makan malam berlilin untuk melepaskan rindu sengsara. Ah itu perkara biasa!

11) Mungkin juga saya akan memandang anda semua ni, yalah anda, yang sibuk mahu berbulatan gembira dan berkonferens riang, sibuk ke mari dan ke sana, kononnya mahu memperjuangkan agamaNya, sibuk dengan dakwah dan tarbiyah sehingga tidak punya masa untuk keluarga dan diri sendiri.. Sebagai orang-orang yang ekstrem. Ya, sumpah ekstrem. Peluh kecil. 


12) Dan blog ini mungkin tidak wujud. Kalau wujud sekalipon, mungkinlah tidak seosem sekarang ini. Wahahaha. Pandang kiri, pandang kanan.




Eh Cik Nadia, mengapa pipi anda basah? Anda menangiskah?



Ha, menangis? Ish mengarut sahaja anda ni. Ni tadi ni ha. Err.. Tadi Puan Umi  minta tolong saya untuk hiris bawang merah. Pedih mata! Tu yang bercucuran air mata tu. 



Err. Krikkk krriiiikk. Eh banyak pula cengkerik di kawasan ni kan?

Berdehem.
Begitulah kurang lebih. Sebenarnya banyak lagi yang boleh disenaraikan, tetapi cukuplah sekadar itu. Cukuplah untuk mengingtkan dan menyedarkan diri yang lemah dan marhaen ini, betapa bertuah dan beruntungnya saya kerana telah di selamatkan daripada tepi tebing api neraka yang panas membara.

"Dan berpegang teguhlah kamu semuanya pada tali Allah, dan janganlah kamu bercerai-berai, dan ingatlah nikmat Allah kepadamu ketika kamu dahulu (di masa jahiliyyah) bermusuhan, allu Allah mempersatukan hatimu, sehingga dengan kurniaNya kamu menjadi bersaudara, sedangkan (ketika itu) kamu berada di tepi jurang neraka, lalu Allah menyelamatkan kamu dari sana. Demikianlah, Allah menerangkan ayat-ayatNya kepadamu agar kamu mendapat petunjuk. [ali-Imraan, 3:103]

Habuk masuk mata. Banyak habuk masuk mata.



Kawan, bersyukurlah kerana dalam berbilionan manusia di muka bumi ini, anda terpilih untuk menjadi seorang Muslim. Kawan, anda patut lebih bersyukur kerana dalam hampir dua bilion umat Islam, anda cukup bertuah untuk tinggal di Malaysia yang penuh dengan nikmat dan kemudahan. Dan kawan, anda sepatutnya bersyukur lebih banyak kerana dalam ramai-ramai orang Islam di Malaysia yang tampaknya hanyut dan larut dalam nikmat keduniaan dan kesenangan, entah bagaimana, anda di pilihNya untuk berjumpa dan beramah mesra dengan da'wah dan tarbiyah.

Allah.

Tidak malukah kita, Allah yang selama ini membuka pintu syurgaNya seluas-luasnya kepada kita dan kita dengan sukacitanya buat biskut sahaja? Tidak segankah kita kepadaNya, setiap saat dan ketika, Dia mahukan kita dekat kepadaNya, tetapi kita memandang enteng sahaja dan saban hari, semakin jauh dariNya? Dan tidak terasa hinakah kita, Dia mempermudahkan urusan dan langkah-langkah kita untuk kita menggapai redhaNya, untuk kita memiliki kunci pintu sorgaNya, namun kita berlagak seolah-olahnya semua itu tidak penting dan tiada nilainya?


Tunduk malu, air mata menitik lagi. Banyak betul potong bawang hari ni kan? Nak masak apa tu? * koff koff *

Harga hidayah itu terlalu besar untuk dibayar dengan wang ringgit, malah dunia dan seisinya sekalipon. Dan meskipon anda berdakwah dan mentarbiyah sepanjang hidayat anda, sehingga ke saat akhir anda menghembuskan nafas anda, itu pon belum tentu lagi dapat menyamai betapa besarnya nilai dan mahalnya harga hidayah itu.
Kepada anda yang belum lagi merasai betapa besar dan lazatnya nikmat hidayah itu, bersabarlah dan jangan berputus-asa. Teruskan berdoa dan meminta dengan penuh tulus dan ikhlas kepadaNya. Bersungguh-sungguh dalam meminta keampunan dariNya dan mengadulah kepadaNya dengan penuh kesabaran dan keazaman. Yakinlah Dia Maha Mendengar dan Dia juga Tuhan yang tidak suka menghampakan hamba-hambaNya yang meminta.


Dan amaran kepada anda (dan juga saya !) yang sudah cukup bertuah merasai betapa manisnya hidayah itu. . Genggamlah ia dengan kemas, gigitlah ia dengan cermat dan hadamlah ia dengan lumat. Jangan sesekali mensia-siakan hidayah yang pernah datang bertandang dan bertamu di dalam hati kita itu. Kerana sesungguhnya, hidayah itu adalah milikNya dan milikNya jua sahajalah. Dan bila-bila masa sahaja Dia boleh menariknya kembali, espeseli daripada hamba-hambaNya yang tidak tahu mensyukuri dan menghargai nilai hidayah itu.


Genggam hidayah itu betul-betul. Jangan sesekali biarkannya terlepas! 


Terima kasih Allah. Kalau bukan kerana tarbiyah yang memperkenalkan aku dengan hidayah Mu, entah siapalah aku pada hari ini. Aku mungkin kini seorang penyangak yang tidak kenal siapa Tuhanku dan cinta pada RasulMu! Thank you so much untuk nikmat yang percuma ini!
"Wahai Tuhan kami! Janganlah Kau sesatkan hati kami, sesudah Kau berikan petunjuk kepada kami, dan kurniakanlah kepada kami rahmat dari sisiMu. Sesungguhnya Kau adalah Maha Pemberi. [ali-Imraan, 3:8]

Anda bagaimana? Anda rasa-rasalah, siapakah anda sekarang ini tanpa tarbiyah?