Khas Buat Lelaki Yang Nak Jadi Suami

Assalamualaikum sahabat semua :)

 

Sihat? Pagi subuh ni tetiba nadia semangat nak update blog. Dah bersawang rasanya kaan? Mesti korang ingat pagi pagi macam ni nak update tentang tazkirah subuh yang selalu orang share tu. Last last bila tengok, haih tak habis habis tentang kahwin, jodoh dan bla bla bla. Hehe Tak kesah kaan? Lagi pun nadia tahu ramai yang minat dalam bab bab macam ni. Takpaa, nadia sangat memahami. Cepat angguk. Hehe Jadi layan jelah menu yang nadia sediakan ni. Penat tuu ='=



Asyik-asyik dera isteri, isteri buat itu salah, isteri buat begini tak betul. Marah bukan sebarang marah, suara nyata memekak telinga. Dah jemu lantas cari perempuan lain, kemudian perempuan lain itu pula menjadi mangsa lagi. Hati isteri remuk, jiwa isteri hancur, hanya kerana suami yang zalim!


Oh suami, bila banyak dipaparkan sebegini rupa, mula anak dara takut menerima teruna, kerana khuatir, hubungan itu berdasar nafsu semata. Maka, kebanyakkan wanita menyalahkan lelaki.


Persoalannya, salahkah lelaki? Atau wanita yang tak tahu menilai baik budi?


Bagaimanakah lelaki yang punya ciri-ciri yang di idamkan wanita bukan ajnabi?

-------------------------------------------

Kerana Al-Amin, Khadijah terpikat


Sirah Rasulullah, bagaimana baginda di gelar al-Amin. Kerana beliau di beri amanah oleh para pemuka Quraisy dalam isu meletakkan Hajar Aswad. Kenapa dia diberi amanah tersebut? Kerana Baginda nabi adalah seorang yang dipercayai akibat kejujurannya dalam menjalankan amanahnya.


Abu Lahab pernah cuba meminang Siti Khadijah melalui Abu Thalib. Namun, ditolaknya. Kerana apa? Abu Thalib berkata:


“ Dalam pertemuanku itu, Khadijah mengatakan dia memerlukan seorang lelaki yang dapat di percayai bagi menjalankan perniagaannya. Dia berpesan supaya mencarikannya seorang lelaki yang jujur dan dapat di percayai. Ayah tidak nampak orang lain selain kamu, wahai Muhammad.”


Ciri-ciri orang yang dipercayai? Pastinya tutur kata yang baik, amanah, jujur serta tidak berbohong. Sukar? Wanita baik seperti Khadijah menyukai lelaki seperti ini.


----------------------------------------------------

Usaha dan Berani, akhirnya Fatimah dimiliki


Dua sahabat terkemuka telah cuba meminang Fatimah, namun pinangan mereka ditolak dengan baik oleh Rasulullah. Saidina Abu Bakar dan Saidina Umar, siapa tidak kenal dengan tokoh Islam yang terkenal ini ?


Yang akhirnya dapat? Tak lain tak bukan, Saidina Ali.


Apa yang di lakukan oleh Saidina Ali untuk mendapatkan Fatimah? Adakah beliau berdiam diri sahaja? Tidak, beliau berusaha untuk menikahi gadis yang di cintainya, bukan berpeluk tubuh dan berdoa semata-mata.


Gadis yang baik tak akan timbul dari langit, usaha perlu ada. Lelaki yang bersungguh-sungguh, InsyaAllah akan menjadi suami yang menjaga isterinya sebaiknya. Kerana usahanya berbaloi jua.


Apa di maksudkan dengan berani? Saidina Ali sentiasa berdamping dengan bapa mertuanya (ketika itu belum lagi), dan akhirnya, beliau sendiri datang berjumpa baginda nabi. Sehingga ke alam perkahwinan, beliau masih lagi berhubung baik dengan bapa mertuanya.


Secara jujurnya, wanita selalu sahaja mudah mendampingi keluarga mentuanya. Berbanding lelaki, hanya berani ketika ingin mendapatkan wanita idamannya, tapi selepas menikah, lebih banyak di tumpukan keluarganya berbanding keluarga isterinya.


Sebab itu tidak hairan jika si isteri lebih rapat kepada keluarga mentua berbanding suaminya. Kerana suaminya sendiri mencipta jurang segan terhadap keluarga mentuanya. Bila bersama dengan keluarga isteri, mereka banyak berdiam diri, sebab tak beranilah tu.


--------------------------------------


Keikhlasan cinta Abu Salamah


Abu Salamah? Siapakah dia? Beliau merupakan saudara susuan kepada baginda Nabi. Telah ditakdirkan bertemu jodoh dengan sepupu “ Pedang Allah” Khalid al-Walid, yakni Hindun binti Abu Umayyah atau dikenali sebagai Ummu Salamah.


Ummu Salamah merupakan seorang wanita yang cantik, mulia, terhormat dan bijaksana. Cintanya kepada Abu Salamah terlalu besar, hinggakan cemburunya pun besar juga. Abu Salamah merupakan seorang pahlawan Islam yang terbilang, dan sentiasa dilanda kecederaan ketika berjuang. Dan Ummu Salamah menumpukan sepenuh perhatian merawat suaminya yang tercinta itu.


Namun, jodoh mereka tidak berpanjangan. Abu Salamah pergi meninggalkan Ummu Salamah ketika luka lamanya semasa perperangan berdarah kembali. Saat-saat sebelum pemergian Abu Salamah, Ummu Salamah berkata:


“Kandaku sayang!" Dinda mendengar bahawa jika seorang isteri di tinggal mati oleh suaminya, sementara suaminya itu menjadi penghuni syurga dan isterinya tidak menikah lagi, maka Allah mengumpul mereka kembali ke alam syurga. Maka berjanjilah wahai kekasihku, kanda tidak akan menikah lagi, seandainya dinda pergi dulu. Dinda juga akan berjanji akan tidak menikah lagi andai kanda pergi dulu.


Abu Salamah memang mencintai isterinya, tapi dia sedar, wanita solehah, secantik dan sebijak isterinya wajar dimiliki oleh seorang yang lebih baik darinya. Dalam tenat berbicara, Abu Salamah membuat keputusan yang terbaik buat isterinya.


“Mahukah dinda taat kepada kanda?" kata Abu Salamah.


“Sudah tentu wahai kekasihku,” jawab Ummu Salamah.


“Berjanjilah, jika kanda pergi terlebih dahulu, maka menikahlah lagi,” pinta Abu Salamah. Ummu Salamah terkedu, air matanya bercucuran hiba.


“Ya Allah, jika aku mati terlebih dahulu, maka berikanlah Ummu Salamah seorang suami yang lebih baik daripadaku yang tidak akan membuatnya sedih dan menyakitinya,” doa Abu Salamah dalam kepayahan.


Ikhlasnya Abu Salamah bukanlah untuk dirinya, tetapi untuk isterinya, agar isterinya memperoleh kebaikan yang tak terhingga tatkala dia menutup mata.


Demikian keikhlasan cinta seorang suami kepada isterinya, memikirkan yang terbaik untuk isterinya, dan akhirnya, Ummu Salamah bernikah dengan Rasulullah!


Mencintai dengan ikhlas, bukanlah melepaskan diri dari tanggungjawab, tetapi memberi yang terbaik buat isterinya.


Romantis ala Rasulullah


Apa fikiran kamu tentang romantis? Geli berjiwang-jiwang? Romantik itulah penghubung erat rumahtangga. Nabi ketika keluar tatkala menyambut salam dari sahabatnya, maka sahabatnya melihat tangan baginda terdapat tepung. Nyata ketika itu baginda membantu isterinya menguli tepung.


Bab menegur isteri pun cukup romantik, tatkala Aisyah memasak sesuatu, baginda nabi merasainya. Lalu dirasakan masakan itu kurang enak, dan Aisyah bertanya tentang masakannya. Lantas, nabi sendiri menyuapkan makanan itu ke dalam mulut Aisyah. Tahulah Aisyah mengenai masakannya itu.


Ada lagi, daripada Aisyah, beliau berkata: “Saya biasa minum daripada cawan yang sama ketika haid, lalu Nabi mengambil cawan itu dan meletakkan mulutnya di tempat saya meletakkan mulut saya."


“Lalu baginda minum, kemudian saya mengambil cawan, lalu saya menghirup isinya. Kemudian baginda mengambilnya daripada saya, lalu beliau meletakkan mulutnya pada tempat saya meletakkan mulut saya, lalu beliau pun menghirupnya.” (Hadis riwayat Abdurrazaq dan Sa’id bin Manshur).


Kira nak bagi banyak lagi, tapi, cukuplah dulu yang ada, keh keh keh.


----------------------------------------------------

Jadi para lelaki, kalau nak jadi suami, bukan terhad kepada perkara di atas. Bangkitlah menjadi lelaki yang berkualiti, barulah melahirkan masyarakat madani.

Ya, pesanan itu juga untuk yang bakal di gelar suami pada diri ku, hehe :D