Assalamualaikum
semua.
Alhamdulillah
masih lagi diberikan kesempatan nak update belog seketika. Jam sekarang 1.15
am, hari selasa 31 haribulan Januari 2017. Mudah-mudahan sihat. Idea
berlegar-legar tiba-tiba, memaksa tangan untuk menaip di sini untuk dijadikan
perkongsian bersama. --Skemanya ayat.
--------
Pernah
tak duduk keseorangan dengan mata yang terpejam. Merasakan roh yang ada dalam sebuah jasad,
Lalu bertanya, siapa aku?
Pernah tak duduk keseorangan, jauh daripada semua perkara duniawi,
mendongak ke langit, lalu bertanya, untuk apa aku diciptakan? Pernah tak
apabila sedang berjalan, berfikir bagaimana jika tiba-tiba sahaja diri akan
jatuh, dada sakit, lalu nyawa ditarik.
Pernah tak apabila sebelum melelapkan mata, berfikir, apakah
pandangan aku esok seperti apa yang terlihat kini? Pernah tak apabila
sedang bergembira, berfikir, jika waktu itu gempa bumi datang menggegar, ke
manakah dapat aku lari?
Kita hanya manusia. Hanya hamba!
Dan (ingatlah) Aku tidak menciptakan jin dan manusia
melainkan untuk mereka menyembah dan beribadat kepadaKu. (Adz-Dzaariyaat
51:56)
Ya, kita hanya hamba, HAMBA. Yang lemah lagi hina. Tiada
apa milik kita di dunia. Itu semua kurniaan Allah. Pangkat,
kecerdikan, kekayaan harta, rupa paras yang cantik, apakah itu semua? Itu
semua ujian daripada Dia. Yang mempesonakan. Yang membuatkan hati lalai jika
menjadi hamba dunia. Dia sentiasa menguji. Apakah diri akan berpaling
daripada-Nya dengan segala nikmat yang Dia berikan? Apakah nikmat yang diberi
digunakan ke arah jalan yang betul? Kita akan dikembalikan. Rasalah
kita akan kembali kepadaNya. rasalah sekarang. Dunia ini hanya sebuah
tempat ujian, tempat persinggahan. Fikirlah akhirat, kerana itulah tempat
kembali kita. Yang kekal abadi.
Apabila menyedari diri seorang hamba, maksiat akan
ditinggalkan.
Hamba akan merasa dia adalah milik Penciptanya. Segala suruhan
Allah dilakukan. Segala larangan-Nya ditinggalkan. Jika Allah menyuruh
supaya berbuat baik sesama manusia, dia ikut. Jika Allah suruh mendirikan
solat, dia ikut. Jika Allah menyuruh supaya aurat ditutup, dia ikut. Jika Allah
menyuruh supaya dia mentaati ibu dan bapa, dia ikut. Jika Allah menyuruh supaya
merendahkan hati, dia ikut. Segala suruhan Allah diikuti. Dia ikut kerana
merasa diri hanya seorang hamba. Jika Allah melarang daripada menyakiti
hati anak yatim, dia tinggalkan. Jika Allah melarang daripada memakan riba, dia
tinggalkan. Jika Allah melarang daripada berdusta, dia tinggalkan. Jika Allah
melarang daripada mengumpat, memfitnah dan menceritakan keburukan orang lain,
dia tinggalkan. Segala larangan Allah ditinggalkan. Dia tinggal kerana
merasa diri hanya seorang hamba.
Apabila menyedari diri seorang hamba, diri akan sentiasa bersyukur.
Jika Allah mengurniakan berbagai-bagai nikmat, hamba itu tetap
tunduk dan sujud bersyukur. Jika Allah mengurniakan nikmat kesihatan, dia
bersyukur kerana ada yang ditarik nikmat ini dengan penyakit yang memberi
derita pada tubuh. Jika Allah mengurniakan nikmat ibu dan bapa, dia bersyukur
kerana sedar ada yang telah kehilangan kedua-dua ibu dan ayah. Jika Allah
mengurniakan sahabat-sahabat yang mengajak kearah kebaikan, dia bersyukur
kerana ada yang mengingati. Segala nikmat Allah disyukuri. Kerana merasa
diri hanya seorang hamba.
Jika Allah menguji dengan musibah dan ujian yang berat, hamba itu
tetap juga akan terus tunduk dan sujud bersyukur. Jika dia menangis kerana
ditinggalkan cinta seorang lelaki atau perempuan yang bukan halal baginya, dia
bersyukur kerana sedar Allah amat menyayangi-Nya daripada terus lalai dalam
lembah dosa. Jika dia diuji dengan kehilangan orang yang tersayang, dia
bersyukur kerana sedar Allah sentiasa ada di sisi. Jika dia mengalami musibah
kebakaran atau perniagaan yang merosot, dia bersyukur kerana Allah menyedarkan
dia bahawa itu semua milik Allah. Segala ujian berat dan musibah yang
menimpa, disyukuri. Kerana merasa diri hanya seorang hamba.
Apabila menyedari diri seorang hamba, terasa
lemah tidak terdaya. Siapalah kita untuk berbangga dengan kekayaan harta.
Itu semua Allah bagi.Siapalah kita untuk berbangga dengan ilmu yang ada. Itu
semua Allah bagi. Siapalah kita untuk berbangga dengan jawatan tinggi. Itu
semua Allah bagi. Tiada milik kita, hanya milik Allah, lalu mengapa diri
begitu sombong?
Jika Allah nak tarik nikmat, sekejap sahaja.
Mudah sahaja bagi Dia. Sekelip mata sahaja hilang di pandangan. Segala
nikmat yang diberi, hanyalah untuk menguji ‘respon’ kita.
Jika punya harta yang menimbun, infakkanlah pada jalan yang
benar. Begitu ramai yang memerlukan. Percayalah, dengan memberi untuk
menunjukkan rasa bersyukur, nikmat itu akan ditambah lagi. Carilah redha Dia
dengan harta yang juga milik Dia. Jika punya ilmu yang bermanfaat.
Sebarkanlah dengan hati yang ikhlas bukan untuk berbangga. Apakah diri tidak
mengetahui, itulah antara saham ke akhirat, yang sentiasa bertambah nilainya
apabila diamalkan. Carilah
redha Dia dengan ilmu yang juga milik Dia. Jika punya jawatan yang
tinggi dan pangkat yang besar, berlaku adillah. Lihatlah orang di bawah sebagai
manusia bukan orang suruhan. Pandanglah orang bawahan dengan kaca mata kasih
sayang. Berikanlah dan tunjukkanlah akhlak yang baik sebagai seorang pemimpin.
Sedarlah bahawa hanya Allah kuasa tertinggi. Carilah
redha Dia dengan pangkat yang juga milik Dia.
Akhir kehidupan, tiada lagi pakaian yang boleh dipilih, hanya kain
putih. Akhir kehidupan, tiada lagi kereta mewah. Yang ada hanya
keranda kayu. Akhir kehidupan tiada lagi harta, rupa mahupun pangkat. Yang ada hanya amalan. Bertaqwalah, Dan ketahuilah,
itulah sebenarnya sebaik-baik bekalan untuk dibawa pulang kembali kepadaNya.
"Dan berbekallah kamu, sesungguhnya sebaik-baik
bekal adalah takwa"
(Al-Baqarah, ayat 197)